Akhirnya, UNIQLO, jenama pakaian global dari negara matahari terbit, Jepun berjaya melancarkan majalah LifeWear edisi ke-3 mereka selepas tertangguh berikutan pandemik yang melanda dunia.
Majalah LifeWear merupakan satu majalah yang dikeluarkan dua kali dalam setahun dan ia adalah percuma. Pertama kali ia dikeluarkan adalah pada bulan Ogos 2019 yang mana diarahkan oleh Ketua Pengarangnya, Takahiro Kinoshita, yang jga Pengarah Kreatif di Fast Retailing Global Creative Lab Tokyo.
Majalah edisi ke-3 ini bertemakan Our Tomorrow, yang mana menampilkan sumbangan dan meneroka sifat menerusi pakaian ketika waktu-waktu sukar sekarang ini dan memandang terus ke hadapan mengharapkan masa depan yang jauh lebih baik.
Majalah ini dihasilkan dalam 120 muka surat bersaiz A4, yang mana menggunakan Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris. Tidak dinafikan yang meskipun kita sudah hidup di dalam dunia yang serba canggih dan sarat digital, masih ramai yang lebih memilih untuk naskhah cetakan, ia seakan satu kepuasan kala memegang naskhah tersebut. Jadi, bagi mereka yang ingin mendapatkan naskhah cetakan LifeWear, ia kini sudah boleh didapati di stor-stor UNIQLO bermula 14 September.
“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan sedalam-dalam simpati terhadap semua yang menderita akibat pandemik COVID-19. Saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu dalam menyediakan isi kandungan yang istimewa untuk isu ini, yang mana mengkaji pelbagai cara di mana fesyen boleh membantu membangkitkan semula semangat masyarakat kita dengan membawa kegembiraan ke dalam kehidupan mereka dan menggalak mereka untuk mencuba sesuatu yang baru,” kata Takahiro.
Tambahnya lagi, “Objektif utama majalah LifeWear adalah untuk mengetengahkan bagaimana LifeWear mempamerkan komitmen UNIQLO dalam mencipta pakaian yang sempurna dan terbaik yang mencapai keperluan akan gaya hidup setiap orang. Saya berharap semua orang akan menyukai edisi terbaru kami ini.”
Menerusi edisi ke-3 ini terdapat banyak topik yang cukup menarik untuk kamu baca dan fahami. Antaranya adalah “Hello, Jil” yang mana pereka fesyen terkemuka Jil Sander menjawab 16 soalan di dalam sesi interviu eksklusif yang merangkumi semua daripada pandangan peribadinya ke koleksi +J yang bakal berada di pasaran pada musim luruh ini sebagai satu ‘comeback‘ darinya. Selain itu, topik “Hearing the Sounds of the City: Interview with Ryuichi Sakamoto” juga adalah antara seksyen utama di dalam naskhah kali ini.
Sebagai penghormatan buat seseorang yang istimewa di mata keluarga besar UNIQLO, kulit majalah LifeWear edisi ke-3 ini mempamerkan lakaran Tyrannosaurus rex yang dilakar oleh mendiang Jason Polan, yang telah pun meninggal dunia pada Januari lalu di usia 37 akibat kanser. Jason Paul adalah seorang artis yang pernah berkolaborasi dengan UT menerusi tiga acara pada Januari 2020 dan kamu boleh baca kisah lanjut mengenainya menerusi majalah LifeWear kali ini di muka surat 115.
Buat mereka yang lebih memilih untuk mendapatkan majalah LifeWear versi digital, kini ia telah pun boleh didapati menerusi laman web khas UNIQLO yang boleh dilayari di www.uniqlo.com.