Table of Contents Hide
Photo by Pixabay from Pexels
Pejam celik pejam celik sudah 15 kali saya ke Seoul. Kalau orang dengar, pasti orang cakap, “Gila ke?”, “Apa yang menarik sangat kota Kpop itu?”. Haih… Korea bukan segalanya tentang Kpop, wahai cik akak dan cik abang. Korea terutamanya kota Seoul sebenarnya turut popular sebagai kota fesyen dan syurga kecantikan. Kalau kamu mahu cari produk kecantikan, di sinilah kapal terbangmu harus mendarat. Selain itu, jika kamu ke Seoul, banyak lokasi menarik yang boleh kamu kunjungi. Baik untuk yang pertama kali atau sudah berkali-kali ke sana. Buat kamu yang masih blur atau tidak tahu ke mana mahu dituju sebaik saja tiba di Seoul, mari saya bantu. Ini 5 lokasi menarik wajib kamu kunjungi, tambah dalam itinerary kamu cepat!
1) Myeong-dong
Suasana di balik lorong-lorong sekitar Myeong-dong Street
Tidak sah lawatan kamu ke Seoul jika tidak berkunjung ke Myeong-dong. Ini merupakan lokasi syurga membeli-belah buat pelancong dari seluruh dunia yang melancong ke negara ini. Di sinilah kamu akan disajikan dengan lambakan kedai kosmetik, butik baju dan kasut berjenama, stor muzik, kafe menarik dan bermacam lagi. Jika saya ke Seoul, saya akan pastikan untuk bermalam paling tidak sehari di hotel berdekatan Myeong-dong semata-mata untuk pengalaman beli-belah yang memuaskan.
2) Hongdae
Antara persembahan yang kamu akan saksikan jika kamu berkunjung ke Hongdae Street. Saranan saya, datang belah petang hingga malam. Meriah!
Tempat hip untuk anak-anak muda. Jika kamu travel bersama teman-teman, ajak mereka ke sini pada sebelah malam. Kamu bakal saksikan pelbagai persembahan jalanan. Ada yang menyanyi dan menari. Cukup meriah! Ada ruang duduk disediakan. Selepas makan malam, duduk sambil menikmati alunan muzik penghibur jalanan ini (yang biasanya anak-anak muda) pasti menenangkan hatimu. Hongdae juga menjadi lokasi shopping kegemaran anak muda kerana harganya lebih murah berbanding lokasi lain. Selain itu, Hongdae ini juga terkenal sebagai bandar hiburan pelajar universiti. Jadi, memang kiri kanan, semuanya kamu akan nampak golongan pelajar yang banyak melepak. Saranan saya, elakkan berkunjung pada hujung minggu, terlalu sesak, kamu mungkin akan berasa tidak selesa.
3) Hannam-dong
Sewaktu di kafe &Gather, Hannam Dong. Jangan lupa order Rose Latte.
Untuk kamu yang mahukan ketenangan namun masih tidak mahu lari daripada konsep percutian hip. Di kawasan Hannam-dong ini ada banyak kafe Instagrammable yang boleh kamu singgah dan snap! Antaranya, &Gather Cafe (yang pernah popular kerana kumpulan BTS pernah berkunjung dan melakukan sesi penggambaran di kafe ini), Oneinamillion Cafe dan Ob La Di cafe. Setiap kali saya berkunjung ke Seoul, Hannam-dong adalah lokasi tempat tinggal pilihan saya. Tenang dan jauh dari hingar-bingar bandar yang sibuk. Lokasi ini juga sudah dekat dengan Itaweon Street (boleh jalan kaki). Jadi, untuk ke restoran halal langsung tiada masalah! Oh ya, buat kamu yang tidak tahu, Itaewon adalah hub restoran halal dan satu-satunya lokasi yang memiliki masjid di Seoul.
4) Yeoido Park
Ini pula sewaktu saya bersama teman-teman bersantai menghadap Sungai Han.
Berdekatan dengan Sungai Han. Lokasi riadah yang menjadi pilihan warga tempatan. Kamu boleh lepak menghadap sungai indah, boleh juga bermain basikal ataupun piknik sambil menikmati ramyeon panas-panas. Waktu yang paling ideal adalah waktu musim bunga. Kamu bakal saksikan kemeriahan taman rekreasi ini. Jika kamu ada masa, saya cadangkan untuk kamu di sini. Cukup menenangkan. Pernah sekali saya ke sini sewaktu kerusi riadah baru diwujudkan. Saya baring hampir 30 minit, tenangnya tuhan sahaja yang tahu. Bila lapar, terus ke kedai membeli ramyeon. Makan ramyeon sambil ditemani angin-angin sepoi yang mendingin dan mendamaikan itu. Priceless!
5) Buchok Hanok Village
Sewa hanbok dan kemudian bergambarlah di sekitar kawasan perumahan Hanok ini. Feel dia lain macam! (Gambar: Pinterest)
Tidak sah jika kamu tidak ke lokasi ini. Kawasan perkampungan ratusan rumah tradisional yang popular sejak zaman dinasti Joseon. Rumah tradisional ini dipanggil Hanok. Kawasan ini kini telah menjadi kawasan kebudayaan dan kebanyakannya telah menjadi rumah tetamu, serta rumah kebudayaan yang menyediakan banyak aktiviti kesenian yang menarik untuk pelancong. Saya sarankan kamu sewa hanbok (pakaian tradisional masyarakat Korea) dan kemudian pusing-pusing di kawasan sekitar untuk bergambar. Kamu juga boleh menyarung hanbok ini dan kemudian berjalan menuju ke istana lama berdekatan seperti Gyeongbokgung Palace dan Changdeukgung Palace, kemudian beranganlah bak seorang puteri sambil bergambar di balik bangunan penuh bersejarah ini. Yang menariknya, jika kamu menyarung hanbok ini, kamu akan diberikan akses percuma untuk masuk ke istana-istana ini serta muzium terpilih. Seronok!